Malay English

OYAGSB Bantu Gelandangan Anjung Singgah

OYAGSB-DONATED-PRELOVED-ITEMS-TO-ANJUNG-SINGGAH-KUALA-LUMPUR

 

KUALA LUMPUR - Pelajar Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) berjaya mengumpul 20 kotak bantuan untuk disumbangkan kepada golongan gelandangan pada Program Mesra Ramadhan MBA@OYAGSB KL, baru-baru ini.
 
Ketua Projek,  Nur Hidayah Ahmad Husaini Zakwan berkata, program ini merupakan satu program amal mengumpul  baju dan kasut terpakai untuk disalurkan kepada penghuni Anjung Singgah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) iaitu golongan gelandangan yang ditempatkan di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.
 
Jelasnya, sepasukan pelajar Master of Business Administration (MBA) mengambil masa selama sebulan untuk mengumpul barang sumbangan menerusi iklan di media sosial seperti facebook, instagram, twitter dan whatsapp. 
 
“Alhamdulillah kami  berjaya mengumpul 20 kotak yang penuh dengan baju dan kasut preloved dan sumbangan ini amat bermakna kepada golongan yang serba kekurangan yang mengharapkan belas ehsan kita. 
 
“Terima kasih kepada yang menyumbang dan prihatin terhadap nasib mereka, harapan misi ini  semoga amal kebaikan diterima Allah selain menceriakan mereka menjelang hari raya yang bakal menjelang,” luah pelajar Master of Business Administration (MBA).
 
Manakala Pengarah Perancangan dan Pembangunan YKN, Nordina Haron berbesar hati menerima sumbangan ikhlas dari UUM untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.  
 
Jelasnya, Anjung Singgah YKN merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah naungan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.  
 
“Anjung Singgah YKN ditubuhkan untuk membantu golongan gelandangan dan memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk hidup berdikari selain menyediakan kemudahan tempat tinggal sementara, makan dan minum,” ulasnya.  
 
Ujarnya, agensi ini juga merupakan pusat intervensi bagi menyediakan mereka untuk menempuh cabaran hidup agar tidak  terpinggir daripada arus pembangunan negara. 
 
“Saya berharap usaha ini tidak berhenti di sini sahaja semoga seluruh warga OYAGSB, UUM dapat bekerjasama dalam aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh Anjung Singgah pada masa hadapan,” katanya.
 
Pengarah (Student Experience & Customer Care) OYAGSB, Prof. Madya Dr. Marlin Marissa Malek berkata, idea tercetus apabila melihat ramai gelandangan sekitar Chow Kit dan dari situ timbul kesedaran untuk membantu mereka.  
 
“Pada awalnya ketika pihak kami menghubungi mereka untuk bertanyakan bentuk bantuan yang diperlukan  mereka tidak mahu makanan sebaliknya pakaian lebih utama maka inisiatif diambil ke arah itu dan sambutan sungguh menggalakkan.
 
“Program ini mendidik pelajar supaya banyak bersyukur dan di samping itu menyerlahkan peranan OYAGSB untuk menyumbang kembali kepada masyarakat pada masa yang sama memberi pendedahan hidup masyarakat yang kurang bernasib baik,” tambahnya. 
 
Turut hadir semasa penyerahan sumbangan tersebut seperti Penyelia Kanan Anjung Singgah, Sharmila Shaari dan Penyelaras Program OYAGSB KL, Dr. Sabariah Yaakub.    
 

 

uum icon finas en logokpkkmscmygovtourismtv3 hires

fotter_ipq_baru.jpg

City of Urbanus

People need police, sanitation, education, fire protection, housing, public transportation. Together we are going to make Urbanus the place over the rainbow, where every person will have his dream life.

Peter Hershell

Hubungi Kami

Unifilm Studio, Universiti Utara Malaysia, 06010 UUM Sintok, Kedah Darul Aman, MALAYSIA

Tel: +604-928 3750
Fax : +604-928 3777
Email : unifilm@uum.edu.my

Waktu Pejabat

Ahad-Rabu: 8:00 pagi - 5:00 petang

Khamis: 8:00 pagi - 3:15 petang

Waktu Rehat: 1:00 petang - 2:00 petang

 

Lokasi Kami

map

UUM TV

h

Copyright © 2018 UNIFILM STUDIO UUM

Last Updated on Sunday, October 14 2018 Time 4:00 PM