Malay English

Pelajar Mobility Inbound Timba Pengalaman Berharga

INBOUND-MOBILITY-STUDENTS-GAIN-VALUABLE-LIFE-SKILLS-AND-INTERNATIONAL-EXPERIENCE

 

LANGKAWI - Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama pelajar mobility inbound menimba pengalaman berharga dalam International Exchange Student Summer Camp 2018 yang sarat dengan pengisian yang bermanfaat di Pulau Langkawi.
 
Penasihat Kelab Global Buddies (GBC UUM), Khairul Anuar Adnan berkata, program anjuran GBC UUM dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Pelajar & Alumni (PPACOB) ini membabitkan 46 pelajar mobility inbound dari negara China, Jepun, Indonesia dan Brunei.
 
Ujarnya, mereka terdiri daripada pelajar dari Kolej Perniagaan (UUM COB), Kolej Sastera dan Sains (UUM CAS) dan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (UUM COLGIS) yang diselia oleh tiga pegawai pengiring.
 
“Program ini mewujudkan jaringan sosial yang lebih luas dan membolehkan pelajar bertukar idea serta berkongsi maklumat berkaitan cara pembelajaran di samping mempelajari budaya masing-masing,” katanya. 
 
Pelajar dari Brunei Darussalam, Nazihah Noorsah berkata, program 3 hari itu membawa peserta melawat destinasi menarik dan beramah mesra  bersama anak-anak yatim yang kurang berkemampuan di Rumah Asuhan Nur Kasih Langkawi.
 
“Ketika insan lain dibelai dengan kasih sayang dan pelukan ibu ayah, anak kecil ini diulit kesunyian dan sedikit sebanyak kesunyian ini terubat dengan kemesraan yang ditunjukkan oleh pelajar yang berkongsi sayang menyantuni anak-anak yatim.  
 
“Program ini memberi keceriaan kepada anak yatim selain memberi kesedaran  bahawa mereka mempunyai masa depan yang cerah, jadi dengan perhatian  yang diberikan memotivasikan mereka agar terus berjaya,” jelasnya.
 
Tambahnya, pelbagai aktiviti yang dijalankan seperti sesi motivasi, latihan, ice breaking yang memberi keriangan serta mengukir senyuman di raut wajah anak-anak, di samping sumbangan turut disalurkan bagi meringankan beban. 
 
Ujarnya, ini selaras dengan matlamat program bagi melahirkan pelajar yang memiliki sahsiah yang tinggi dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.  
 
Katanya, program khidmat masyarakat ini dapat memupuk nilai murni, semangat kerjasama, membina keyakinan selain mengakui turut tersentuh dengan semangat yang ditunjukkan mereka.  
 
Demi kesejahteraan sejagat dan kehijauan bumi, peserta turut didedahkan dengan aktiviti menyemai benih pokok bakau di Kilim Karst Geoforest Park. 
 
Peserta dari Jepun Kohei Saito, menyifatkan dirinya amat bertuah kerana dapat dan merasai pengalaman memegang dan menyemai biji benih pokok bakau. 
 
“Saya sangat seronok dengan aktiviti yang disusun sepanjang program yang cukup menarik dan unik, ini merupakan pengalaman pertama saya mempelajari tentang teknik menyemai benih bakau.  
 
“Usaha berterusan dalam pemuliharaan hutan bakau bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh pelajar malah masyarakat supaya lebih menghargai kepentingan hutan justeru semua pihak perlu bekerjasama demi kelestarian alam sekitar agar dapat diwariskan kepada generasi akan datang,” ulasnya. 
 
Menurut pengarah program ini Ayub Johari, program summer camp ini merupakan program tahunan yang dijalankan oleh GBC khusus untuk pelajar mobility inbound yang mengikuti pengajian satu semester di UUM. 
 
“Program ini kali kedua dilaksanakan di Langkawi dan pada masa hadapan program ini mungkin akan diadakan di tempat menarik yang lain seperti di Pulau Perhentian atau Pulau Redang pula,” ujarnya. 
 
Sementara itu, Pengarah Pusat Kerjasama dan Hal Ehwal Antarabangsa (CIAC), Prof Madya Dr Mohamad Farizal Rajemi mengucapkan tahniah kepada GBC yang berjaya menjalankan program dengan melibatkan pelajar mobiliti dari tiga kolej di UUM. 
 
“Saya berharap GBC akan terus menjalankan program berimpak besar untuk pelajar mobiliti pada masa akan datang sambil menimba pengalaman yang amat bernilai,” katanya. 
 

 

uum icon finas en logokpkkmscmygovtourismtv3 hires

fotter_ipq_baru.jpg

City of Urbanus

People need police, sanitation, education, fire protection, housing, public transportation. Together we are going to make Urbanus the place over the rainbow, where every person will have his dream life.

Peter Hershell

Hubungi Kami

Unifilm Studio, Universiti Utara Malaysia, 06010 UUM Sintok, Kedah Darul Aman, MALAYSIA

Tel: +604-928 3750
Fax : +604-928 3777
Email : unifilm@uum.edu.my

Waktu Pejabat

Ahad-Rabu: 8:00 pagi - 5:00 petang

Khamis: 8:00 pagi - 3:15 petang

Waktu Rehat: 1:00 petang - 2:00 petang

 

Lokasi Kami

map

UUM TV

h

Copyright © 2018 UNIFILM STUDIO UUM

Last Updated on Sunday, October 14 2018 Time 4:00 PM