Malay English

SKOR KESELURUHAN INDEKS SYARIAH MALAYSIA 2017 MENINGKAT

03 OGOS 2017 / 10 ZULKAEDAH 1438H

indeks syariah

 

UUM ONLINE: Putrajaya - Pencapaian Indeks Syariah Malaysia (ISM) 2017 terus menunjukkan peningkatan dengan skor sebanyak 76.06 peratus, meningkat 0.6 peratus berbanding tahun 2015.

Pengumuman skor tersebut dilakukan YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak pada Majlis Perdana Ulama-Umara dan NGO Islam Bersama YAB Perdana Menteri Dan Pembentangan Indeks Syariah Malaysia 2017 di Dewan Putra, PICC, pagi tadi.

Perdana Menteri berkata, laporan Indeks Syariah Malaysia itu merangkumi lapan bidang utama yang berkaitan dengan pelaksanaan dasar dan program kerajaan iaitu Pendidikan, Perundangan, Ekonomi, Kesihatan, Politik, Prasarana dan Persekitaran, Sosial serta Budaya.

"Penilaian skor kali pertama lalu mencatatkan 75.42 peratus sahaja di tahap memuaskan.

"Selain itu, sebanyak empat bidang menunjukkan peningkatan ketara iaitu bidang kesihatan, prasarana persekitaran, ekonomi dan sosial, manakala skor empat bidang lain iaitu pendidikan, politik, perundangan dan budaya pula masih berada di tahap yang memberangsangkan," katanya.

Seramai 222 penyelidik dari enam universiti awam telah terlibat dalam kajian ISM iaitu UUM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak merangkap ketua penyelidik UUM turut hadir ke majlis tersebut.

Indeks Syariah Malaysia telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 10 Februari 2015 bersempena dengan Majlis Perdana Ulama'-Umara' 2015 bertujuan menjadikan Malaysia sebagai peneraju model tadbir urus Islam yang pertama di dunia berteraskan prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

YAB Perdana Menteri turut menyaksikan Majlis Menandatangani MoU ISM dengan Kementerian Kewangan Malaysia.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Dato' Seri Jamil Khir Baharom.

uum icon finas en logokpkkmscmygovtourismtv3 hires

footer 4 jun 2017

Hubungi Kami

Unifilm Studio, Universiti Utara Malaysia, 06010 UUM Sintok, Kedah Darul Aman, MALAYSIA

Tel: +604-928 3750
Fax : +604-928 3777
Email : unifilm@uum.edu.my

Waktu Pejabat

Ahad-Rabu: 8:00 pagi - 5:00 petang

Khamis: 8:00 pagi - 3:15 petang

Waktu Rehat: 1:00 petang - 2:00 petang

 

Lokasi Kami

map

UUM TV

h

Copyright © 2017 UNIFILM STUDIO UUM

Last Updated on Thursday, September 14 2017 Time 10:00 AM