Malay English

KERJASAMA TISSA-UUM DAN E-STREAM SOFTWARE TINGKAT PROFESIONALISME BIDANG PERAKAUNAN

 

03 OGOS 2017 / 10 ZULKAEDAH 1438H

tissa-estream

 

 

UUM ONLINE: Bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran terkini terutama dalam penggunaan sistem yang terkehadapan dalam bidang perakaunan, Pusat Pengajian Tunku Puteri Intan Safinaz, Universiti Utara Malaysia (TISSA-UUM) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan E-Stream Software Sdn Bhd, sebuah syarikat perisian yang mempunyai kepakaran dalam bidang perakaunan.

MoU itu ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Dr Hassan Ali, mewakili Naib Canselor dan Pengarah Urusan E-Stream Software Sdn Bhd, Desmond Law Hoe Yen disaksikan oleh Dekan TISSA-UUM, Prof Dr Ayoib Che Ahmad dan Pengurus Pemasaran E-Stream Software Sdn Bhd, Christopher Liew Heng Hoong di Balai Tamu, Canselori semalam.

Pelbagai bidang kerjasama akan dijalankan menerusi pemeteraian MoU itu antaranya projek penyelidikan, perkongsian kepakaran, pertukaran idea dan fasiliti termasuk lawatan dan penempatan industri, pembangunan kurikulum serta penyertaan dalam persidangan dan bengkel yang relevan.

Prof Dr Hassan Ali dalam ucapannya berkata kerjasama yang dijalinkan itu akan memberi nilai tambah dari segi kemahiran dan pengetahuan teknologi yang dilihat dapat meningkatkan profesionalisme dan kebolehpasaran graduan dan peserta terlibat.

"Dalam konteks kerjasama yang dijalankan antara UUM dan E-Stream Software ini, para pelajar dapat meningkatkan kemahiran dalam penggunaan teknologi perakaunan menerusi perisian komersial yang diperkenalkan.

"Pihak E-Stream Software juga akan menerima impak dari segi pemasaran perisian kerana kemahiran para graduan yang mengikuti program pensijilan SQL boleh menarik bakal majikan untuk memperkenalkan perisian tersebut di organisasi masing-masing," ujarnya.

Menurutnya lagi kerjasama strategik itu juga diharap dapat diperluaskan meliputi aspek pengukuhan dan penambahbaikan kandungan kurikulum akademik agar relevan dengan keperluan semasa, pembaharuan dalam pendekatan pengajaran dan pembelajaran, penempatan industri untuk pelajar dan pensyarah, kerjasama penyelidikan dan khidmat nasihat, perkongsian sumber dan pertukaran idea secara berterusan di antara universiti dan industri.

Sementara itu Pengarah Urusan E-Stream Software Sdn Bhd, Desmond Law Hoe Yen berkata kerjasama yang dijalinkan itu akan membolehkan para pelajar menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dikemaskini mengenai perakaunan, operasi perisian perakaunan dan pengiraan gaji yang merupakan antara pengetahuan yang paling dikehendaki majikan serta pemahaman yang kukuh terhadap peraturan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Malaysia.

"Kami di E-Stream Software sangat teruja untuk memulakan perkongsian ini dengan UUM untuk membangunkan kemahiran yang relevan kepada para pelajar bagi menyokong ekonomi Malaysia yang semakin berkembang," jelasnya.

Hadir sama pegawai-pegawai UUM dan wakil E-Stream Software Sdn Bhd.

 

 

uum icon finas en logokpkkmscmygovtourismtv3 hires

footer 4 jun 2017

Hubungi Kami

Unifilm Studio, Universiti Utara Malaysia, 06010 UUM Sintok, Kedah Darul Aman, MALAYSIA

Tel: +604-928 3750
Fax : +604-928 3777
Email : unifilm@uum.edu.my

Waktu Pejabat

Ahad-Rabu: 8:00 pagi - 5:00 petang

Khamis: 8:00 pagi - 3:15 petang

Waktu Rehat: 1:00 petang - 2:00 petang

 

Lokasi Kami

map

UUM TV

h

Copyright © 2017 UNIFILM STUDIO UUM

Last Updated on Thursday, September 14 2017 Time 10:00 AM