Malay English

UUM-UiTM TAWAR PROGRAM IJAZAH BERGANDA PERTAMA

06 JULAI 2017 / 12 SYAWAL 1438H

UUM-UITM

 

UUM ONLINE:  Selangor - Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah melengkapkan hasrat kedua universiti untuk menawarkan program ijazah berganda pada sesi kemasukan pelajar baharu nanti.

Majlis pemeteraian itu menyaksikan Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak dan Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Dato' Dr Hassan Said menandatangani dokumen MoU tersebut di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin di UiTM Shah Alam, semalam.

Perkongsian sinergi kedua universiti itu menerusi Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), UUM dan Akademik Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM bukan sahaja melibatkan program ijazah berganda, malah program mobiliti pelajar dan pensyarah, penganjuran seminar bersama serta penyelidikan dan penerbitan bersama.

Naib Canselor berkata, kolaborasi UUM dan UiTM itu memberi makna yang besar kepada universiti awam negara khususnya pelajar di atas kesepakatan kedua universiti menghasilkan program ijazah berganda.

"Penawaran program ijazah berganda bagi program Sarjana Muda Kaunseling (UUM) dan Sarjana Muda Muamalat (UiTM) ini akan bermula pada sesi kemasukan baharu September nanti.

"Program 'double degree' itu adalah program pertama yang ditawarkan bagi kedua universiti ini dengan tempoh pengajian ditetapkan dan secara tidak langsung akan memberi peluang kepada pelajar untuk mendalami kedua-dua bidang yang mana ia dapat dilihat sebagai nilai tambah kepada pengetahuan dan kemahiran pelajar," ujarnya.

Tambahnya, beliau yakin kerjasama antara UUM dan UiTM boleh mengejutkan ramai pihak dengan hasil gabungan kekuatan yang dimiliki kedua universiti itu.

"Perkongsian sinergi ini boleh diusahakan melalui pemindahan pengetahuan dan kepakaran yang ada antara kedua universiti, secara tidak langsung mampu memaksimakan perkongsian sumber sedia ada.

"Saya berharap kolaborasi ini akan diperkembangkan juga termasuk pusat pengajian lain," ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM berkata, kerjasama akademik antara UiTM dan UUM telah melakar sejarah dalam institut pengajian tinggi (IPT) negara.

Kata beliau, program mobiliti dengan universiti tempatan amat digalakkan bagi menunjukkan keupayaan dan usaha menjayakan kerjasama pintar di Malaysia.

"Saya berharap lebih banyak lagi kerjasama seperti ini akan dijalankan antara kedua universiti ini dan secara tidak langsung memberikan satu pengalaman kepada pelajar khususnya.

"Selain itu, MoU ini juga diharap menjadi titik permulaan untuk kerjasama pada masa hadapan," katanya.

uum icon finas en logokpkkmscmygovtourismtv3 hires

footer 4 jun 2017

Hubungi Kami

Unifilm Studio, Universiti Utara Malaysia, 06010 UUM Sintok, Kedah Darul Aman, MALAYSIA

Tel: +604-928 3750
Fax : +604-928 3777
Email : unifilm@uum.edu.my

Waktu Pejabat

Ahad-Rabu: 8:00 pagi - 5:00 petang

Khamis: 8:00 pagi - 3:15 petang

Waktu Rehat: 1:00 petang - 2:00 petang

 

Lokasi Kami

map

UUM TV

h

Copyright © 2017 UNIFILM STUDIO UUM

Last Updated on Thursday, September 14 2017 Time 10:00 AM