Malay English

RAMADAN MELATIH DIRI JADI UMAT ISLAM BERTANGGUNGJAWAB

15 JUN 2017 / 20 RAMADAN 1438H

iftar

 

UUM ONLINE: Ramadan bukan sahaja melatih umat Islam untuk menahan lapar dan dahaga, malah melatih diri menjadi seorang Islam yang membantu saudara seagama yang memerlukan bantuan.

"Menyedari tanggungjawab besar ini dan juga keberkatannya, UUM telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Rumah Kebajikan Anak Yatim UUM sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang terhadap golongan tersebut, sekali gus akan membuka pintu-pintu rahmat kepada semua," ujar Pro-Canselor, Tun Dato' Sri (Dr) Ahmad Fairuz Dato' Sheikh Abdul Halim pada Majlis Berbuka Puasa Peringkat Universiti Utara Malaysia, semalam.

Menurutnya, dengan adanya Rumah Kebajikan Anak Yatim UUM itu nanti, beliau yakin mereka akan lebih terurus dan terjamin masa depan serta pada masa sama menjadi peluang keemasan kepada warga UUM untuk beramal soleh

Katanya, apabila umat Islam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam terhadap saudara seagama lain, terutamanya kepada mereka yang amat memerlukan bantuan, nescaya sumbangan sebegini bukan sahaja memberi impak positif kepada umat Islam malah manusia sejagat.

"Selain itu, saya juga terharu dengan sifat prihatin dan pemurah warga universiti ini yang sudi menghulurkan sumbangan kewangan untuk menganjurkan program harian berbuka puasa bagi pelajar-pelajar UUM sehingga 24hb Jun ini bagi membantu pelajar terbabit mengurangkan kos perbelanjaan harian mereka.

"Ini merupakan satu usaha untuk mengimarahkan masjid dan syiar Islam, justeru semua orang digalakkan untuk berlumba melabur saham di ‘bank akhirat’ masing-masing supaya menjadi orang kaya di akhirat kelak," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, majlis berbuka puasa itu merupakan program tradisi tahunan bertujuan untuk merapatkan ukhuwah antara staf dan juga mahasiswa dalam satu majlis yang penuh keberkatan.

Menurutnya, selain pengisian kerohanian dan penyerahan sumbangan Ramadan, turut diraikan staf akademik yang menerima watikah kenaikan pangkat ke jawatan Prof Madya dan Pensyarah Kanan.

Ujar beliau, sejak 2010, UUM telah menaikkan pangkat seramai 445 staf akademik melibatkan jawatan Profesor, Prof Madya dan Pensyarah Kanan, selain staf pentadbiran seramai 137 orang yang turut menerima kenaikan pangkat.

"Kenaikan pangkat ini menunjukkan semua staf tersebut telah bertungkus-lumus meningkatkan tahap kecemerlangan mereka mengikut piawaian ditetapkan.

"Semoga dengan kenaikan pangkat ini, mereka akan berusaha meningkatkan kecemerlangan diri dan seterusnya meningkatkan kedudukan UUM sebagai universiti yang cemerlang di rantau ini," katanya.

Selain itu, ujar beliau, dalam menjalankan ibadat puasa dan membuat persiapan untuk menyambut kemunculan bulan Syawal, UUM terpanggil untuk membawa golongan yang tidak bernasib baik menjadi insan yang produktif pada masa depan, antaranya dengan menubuhkan Rumah Kebajikan Anak Yatim di UUM yang mana sebagai permulaan seramai lapan anak yatim dipilih untuk ditempatkan di rumah kebajikan tersebut pada masa terdekat.

Tambahnya lagi, UUM akan menanggung semua kos sara hidup dan pengajian mereka hingga ke peringkat tinggi dan sesi pengambilan anak-anak yatim tersebut akan dilakukan pada masa terdekat selepas proses pemilihan selesai.

"UUM bukan sahaja berusaha membantu golongan tidak berkemampuan termasuk anak yatim, malah universiti juga akan membangunkan Pusat Wakaf dan Endowment UUM.

"Saya bersyukur kerana ramai warga kampus UUM yang mempunyai sikap pemurah apabila memberi sumbangan bagi program berbuka puasa kepada pelajar-pelajar yang diuruskan oleh Pusat Islam di Masjid Sultan Badlishah dan Masjid As-Syafie Bukit Kachi, selain penglibatan dalam dana wakaf kipas gergasi di Masjid Sultan Badlishah serta sumbangan kepada pelarian Syria di Lubnan," katanya.

Pada majlis itu, seramai 15 staf akademik menerima watikah kenaikan pangkat melibatkan 13 pensyarah dinaikkan pangkat ke jawatan Prof Madya dan dua lagi sebagai Pensyarah Kanan, diikuti penyampaian sumbangan Ramadan kepada 28 pelajar UUM dan juga Madrasah Tahfiz Al-Quran Hafsah, Jitra yang diwakili Mufti Asadullah Khalidi.

Majlis tersebut turut diberkati dengan bacaan ayat Al-Quran dan tazkirah yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Agama Islam Kedah, Sheikh Hazizan Mat Desa sebelum azan Maghrib berkumandang.

Hadir sama isteri Pro-Canselor, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Mazni Mohamed Noor; isteri Naib Canselor, Yang Berbahagia Datin Seri Norhayati Nazri; Ahli-Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti dan pegawai-pegawai kanan UUM.

uum icon finas en logokpkkmscmygovtourismtv3 hires

footer 4 jun 2017

Hubungi Kami

Unifilm Studio, Universiti Utara Malaysia, 06010 UUM Sintok, Kedah Darul Aman, MALAYSIA

Tel: +604-928 3750
Fax : +604-928 3777
Email : unifilm@uum.edu.my

Waktu Pejabat

Ahad-Rabu: 8:00 pagi - 5:00 petang

Khamis: 8:00 pagi - 3:15 petang

Waktu Rehat: 1:00 petang - 2:00 petang

 

Lokasi Kami

map

UUM TV

h

Copyright © 2017 UNIFILM STUDIO UUM

Last Updated on Wednesday, July 26, 2017 Time 09:00 AM