Malay English

PENJAWAT AWAM PERLU 'BERFIKIR' DAN 'BERTINDAK' MELANGKAUI KEBIASAAN

24 MEI 2017 / 27 SYAABAN 1438H

apc

UUM ONLINE:Ke arah merealisasikan agenda negara dan keperluan rakyat masa kini, khususnya dalam institusi pengajian tinggi, penjawat awam perlu tahu 'berfikir' dan 'bertindak' melangkaui kebiasaan bagi mencari jalan menyelesaikan permasalahan atau kelemahan yang ada.

Pro-Canselor, Yang Berbahagia Dato' Seri Amar DiRaja Dato' Seri DiRaja Tan Sri (Dr) Osman Aroff  berkata, dalam senario sekarang, untuk menguruskan sebuah institusi pengajian tinggi, organisasi memerlukan seorang penjawat awam yang bersama-sama memikirkan tentang cara menjana kekayaan, di samping mempunyai kualiti insaniah terpuji.

"Ia adalah selaras dengan kehendak kerajaan untuk merealisasikan Transformasi Nasional 2050 atau TN50 yang telah dibentangkan YAB Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet Tahun 2017.

"Untuk merealisasikan TN50 ini, warga UUM juga harus bangun dan bekerjasama kerana transformasi ini melibatkan proses dan gerak kerja jangka panjang bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta berminda 'par excellence'," ujarnya pada Hari Inovasi dan Majlis Penganugerahan Universiti (HIMPU 2017) di Dewan Mu'adzam Shah, pagi tadi.

Menurutnya lagi, TN50 itu bakal menggarap visi anak muda Malaysia yang berumur dari 15 hingga 40 tahun untuk tiga (3) dekad sehingga tahun 2050.

Dalam ucapan Pro-Canselor itu turut menekankan tentang nilai kendiri yang tinggi dalam kalangan kakitangan universiti ini seperti dalam untaian ungkapan masyarakat Melayu, nilai kendiri diabadikan dan disampaikan dari satu generasi ke generasi yang lain sebagai nasihat.

Beliau berkata, dalam konteks abad ke-21 ini, nilai seseorang kakitangan dilihat juga dari sudut pulangan yang diberikan kepada organisasi yang berorientasikan keuntungan atau berdasarkan kriteria lain.

"Sebagai contoh, Harvard University mempunyai beberapa program pengiktirafan untuk kakitangan mereka dan satu daripadanya untuk mencari ‘heroes’ dalam kalangan kakitangan yang mempamerkan satu atau lebih atribut daripada sebelas atribut yang disenaraikan dari segi sumbangan, impak dan kecemerlangan pada tahap paling tinggi.

"Saya berharap dalam kalangan warga UUM ini juga terdapat ‘wira UUM’ dan ‘wirawati UUM’ yang dapat membina “1UUM” yang utuh dan unggul seperti yang dilakukan di Harvard University,"  katanya.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, seramai 299 orang kakitangan telah dipilih untuk menerima anugerah pada HIMPU 2017 itu.

Ujarnya, mereka yang terlibat terdiri daripada 275 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang; 10 penerima Anugerah Penjawat Cemerlang, dua orang penerima Insentif Kecemerlangan Akademik dan 12 penerima Anugerah Penyelidikan, Penerbitan, Pengajaran, Pembelajaran, Inovasi dan Kualiti (APIQ) serta lima projek dan 15 jabatan juga akan menerima anugerah atas kecemerlangan masing-masing.

Menurut beliau lagi, Anugerah Penjawat Cemerlang itu diberikan kepada kakitangan pentadbiran yang memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan dan kakitangan akademik yang berjawatan pentadbiran (Dekan dan Pengarah) yang telah memberikan sumbangan dan menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan.

"Sudah pasti segala episod kejayaan yang diraih ini bukan mudah untuk dicapai dengan pelbagai ranjau yang perlu diredah dan cabaran yang perlu diatasi bersama telah membuktikan seluruh warga UUM sanggup berkorban dengan meletakkan kepentingan universiti dan negara melebihi daripada kepentingan diri sendiri.

"Saya berharap pengiktirafan ini menjadi obor untuk membakar semangat semua penerima anugerah ini untuk mendapat pengiktirafan yang lebih tinggi di dalam dan di luar negara," ujarnya yang turut menerangkan tentang pencapaian-pencapaian terkini UUM seperti penerimaan Perakuan Status Swaakreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan kedudukan UUM melonjak naik dalam penarafan ‘QS University Rankings by Subject Area’.

Selain itu, beliau turut mengingatkan warga UUM untuk menjaga integriti supaya tidak terlibat dalam perkara yang boleh menjejaskan nama baik universiti dan diri sendiri.

Pada majlis itu juga, Yang Berbahagia Pro-Canselor bersama Naib Canselor turut melancarkan majalah ilmiah pertama terbitan UUM Press iaitu South East Asia Management Review (SEA MR).

Hadir sama, isteri Pro-Canselor, Datin Seri DiRaja Puan Sri Nur Kathrina Koh Abdullah; isteri Naib Canselor, Datin Seri Norhayati Nazri; Ahli-ahli JPU dan pegawai-pegawai kanan UUM.

uum icon finas en logokpkkmscmygovtourismtv3 hires

footer 4 jun 2017

Hubungi Kami

Unifilm Studio, Universiti Utara Malaysia, 06010 UUM Sintok, Kedah Darul Aman, MALAYSIA

Tel: +604-928 3750
Fax : +604-928 3777
Email : unifilm@uum.edu.my

Waktu Pejabat

Ahad-Rabu: 8:00 pagi - 5:00 petang

Khamis: 8:00 pagi - 3:15 petang

Waktu Rehat: 1:00 petang - 2:00 petang

 

Lokasi Kami

map

UUM TV

h

Copyright © 2018 UNIFILM STUDIO UUM

Last Updated on Wednesday, July 18 2018 Time 10:00 AM