Malay English

SESI BERSAMA WARIS BERI KEFAHAMAN LEBIH MENDALAM MENGENAI UUM

5 SEPTEMBER  2017 / 14 ZULHIJAH 1438H

BERSAMA WARIS

 

UUM ONLINE: Ibu bapa dan waris pelajar baharu Sesi Pertama 2017/2018 Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diberi taklimat mengenai UUM tengah hari tadi.

Taklimat disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Abdul Malek Hj Abdul Karim mewakili Naib Canselor di Dewan Mu'Adzam Shah. Taklimat tersebut turut disiarkan secara langsung di Dewan Bukit Kachi.

Sesi taklimat ini memberi peluang kepada ibu bapa dan waris pelajar baharu untuk mendapat kefahaman yang lebih mendalam mengenai UUM meliputi aspek akademik, kokurikulum, fasiliti yang disediakan, pencapaian dan peraturan-peraturan universiti.

Prof Dr Abdul Malek turut berpesan kepada ibu bapa dan waris supaya memberi perhatian dan mengambil berat pencapaian akademik anak masing-masing bagi memastikan mereka terus cemerlang dari semasa ke semasa.

Selain itu beliau juga memohon agar pelajar yang mempunyai sebarang masalah di UUM untuk tampil ke hadapan dan memaklumkan kepada pihak Universiti khususnya Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang sentiasa bersedia untuk membantu pelajar.

Sesi soal jawab turut diadakan pada taklimat tersebut bagi menjawab sebarang persoalan mengenai UUM  dan isu-isu berkaitan pelajar.

Hadir sama ahli-ahli Jawatankuasa Universiti dan pegawai-pegawai UUM.

1,257 PELATIH KOR SUKSIS TERIMA PENTAULIAHAN

20 OGOS  2017 / 27 ZULKAEDAH 1438H

SUKSIS

 

UUM ONLINE: Seramai 1,257 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor SUKSIS) menerima pentauliahan masing-masing sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan & Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor SUKSIS Universiti Awam (UA) Ke-13 Tahun 2017 yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) pagi tadi.

Majlis pentauliahan tersebut disempurnakan oleh Yang Dihormati Deputi Inspektor Jeneral Polis, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim, Timbalan Ketua Polis Negara di Dewan Mu'adzam Shah.

Majlis dimulakan dengan Perbarisan Tamat Latihan dan Pemeriksaan Perbarisan oleh Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid diiringi oleh Komandan Kor SUKSIS UUM dan Pegawai Pemerintah Baris di Padang Kawad PALAPES, sebelum beliau menyampaikan Hadiah kepada Pelatih-Pelatih Terbaik Keseluruhan Universiti Awam.

Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid yang membacakan teks ucapan Ketua Polis Negara berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menyokong penubuhan Kor SUKSIS di UA, sejajar dengan objektif untuk melahirkan graduan cemerlang yang memiliki kualiti kepimpinan yang tinggi, berdisiplin serta berpegetahuan tentang bidang kepolisan dan undang-undang.

"Saya amat yakin melalui platform Kor SUKSIS ini, siswa siswi dapat mengikuti program-program latihan yang mampu membentuk kekuatan fizikal dan ketahanan mental, di samping memberi fokus kepada kemajuan akademik.

"Sebagai generasi yang berpengetahuan dan mengikuti arus teknologi maklumat, diharapkan Kor SUKSIS menjadi rakan kolaborasi PDRM dalam aspek pencegahan jenayah, serta berganding bahu dalam menjayakan inisiatif terbaharu PDRM untuk memperkasakan perkhidmatan kepada masyarakat, melalui aplikasi smartphone yang dikenali Volunteer Smartphone Patrol (VSP), iaitu platform untuk orang awam menyalurkan maklumat atau aduan atas talian dalam mendapatkan bantuan segera daripada pihak polis," ujarnya.

Sementara itu Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata melalui Kor SUKSIS ini pelajar UA telah mendapat pendidikan intensif tentang latihan-latihan kepolisan yang dapat membentuk karakter individu yang bakal menjadi pelapis pegawai polis yang profesional dalam bidang kepolisan melalui kursus dan latihan asas yang melibatkan teori dan juga latihan amali mengikut acuan PDRM.

Majlis kemudian diteruskan dengan Penyampaian Hadiah Pelatih Akademik Terbaik dan Pelatih Luar Terbaik serta Upacara Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor SUKSIS oleh Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid di Dewan Mu’adzam Shah.

Secara keseluruhan seramai 1,257 orang pelajar, 100 orang pegawai kehormat Kor SUKSIS yang mewakili 20 buah kontinjen Universiti Awam termasuk 5 cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan 200 orang pegawai dari PDRM terlibat dalam majlis ini.

Hadir sama YDH Komisioner Polis, Dato' Asri Yusoff, Ketua Polis Kedah; Ketua-ketua Polis Negeri; Prof Dr Noor Azizi Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia (TKPPTM); Komandan-komandan Kor SUKSIS UA, Pegawai-pegawai Kanan UUM dan Pegawai-pegawai Kanan PDRM

183 PELAJAR ASASI LAFAZ IKRAR

21 JUN 2017 / 26 RAMADAN 1438H

asasi

 

UUM ONLINE: Seramai 183 pelajar sesi 2017/2018 melafaz ikrar sebagai mahasiswa UUM sempena Majlis Ikrar Dan Ramah Mesra Pelajar-Pelajar Baharu Program Asasi Pengurusan Universiti Utara Malaysia, di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen semalam.

                                         

Bacaan ikrar diketuai oleh Mohamad Danial Irfan Mohd Kahar di hadapan Timbalan Naib Canselor (Akademik Dan Antarabangsa) Prof. Dr. Hassan Ali dan pegawai kanan UUM.

Diawal ucapannya, beliau memaklumkan tentang beberapa pengktirafan yang telah dicapai seperti AACSB iaitu akreditasi program sarjana muda di bawah College of Business, serta pengiktirafan lain seperti AMBA, Abest 21 dan BETTA GAMMA SIGMA.

“Saya dan Naib Canselor mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada pelajar yang memilih Program Asasi Pengurusan UUM, anda merupakan pelajar elit UUM yang akan dididik dan menjadi feeder kepada 36 program yang ditawarkan oleh UUM pada peringkat sarjana muda nanti.

“Jumlah kemasukan bagi kohort keempat Sesi 2017/2018 seramai 183 orang   membabitkan  40 lelaki dan 143 perempuan dari pelbagai kaum sekali gus menunjukkan pelajar perempuan yang menerima tawaran hampir tiga kali ganda,” ucapnya yang membacakan teks ucapan Naib Canselor. 

Jelasnya, bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar bagi program ini, justeru pelajar perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan skil dan menguasai keempat-empat kemahiran bahasa, iaitu pendengaran, pertuturan, pembacaan dan penulisan agar tidak ketinggalan dalam pelajaran selain bersedia menduduki Malaysian University English Test (MUET) pada semester ketiga.

“Harus diingat bahawa pelajar terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU 1971) jadi semua pelajar perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan seperti Etika Pakaian, Peraturan Peperiksaan, tata tertib asrama dan elakkan membuat kesalahan yang menjurus kepada hukuman dibuang universiti,” pesannya.

Ulasnya, pengajian selama 3 semester memerlukan komitmen tinggi yang melibatkan 18 kursus yang ditawarkan dalam usaha melahirkan calon pelajar ijazah sarjana muda yang berkualiti dari segi intelektual. 

Sementara itu, wakil pelajar, Mohamad Daniel Mohamad Ismail yang memberi ucapan melahirkan rasa bangga menjadi sebahagian daripada warga UUM.

“Saya mewakili semua pelajar kohort keempat merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Dato’ Seri Naib Canselor serta pengurusan Universiti kerana membuka jalan kepada kami untuk berjaya pada masa hadapan.

“Pencapaian UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka telah membuka hati  kami untuk melanjutkan pelajaran di sini,” ujarnya.

Katanya, implimentasi nilai professionalisme dan pembentukan sahsiah yang diterapkan oleh Universiti kepada warganya seperti penekanan terhadap aspek kekemasan dan kemahiran pengurusan mampu melahirkan generasi berkualiti, menonjolkan persepsi positif serta meningkatkan kebolehpercayaan masyarakat.  

“Sebagai persiapan menghadapi dunia yang mencabar, kami bersiap siaga membangun potensi diri pada tahap maksimum di samping berharap sokongan dan panduan daripada semua pihak agar matlamat yang dicita-citakan menjadi kenyataan,” tambahnya.  

125 PESERTA IKUTI KURSUS EJEN KASTAM

 

10 JANUARI 2017 / 11 RABIULAKHIR 1438H

====================================

KASTAM

 

UUM ONLINE: Seramai 125 peserta mengikuti Kursus Ejen Kastam (Eksekutif) Siri/1 2017 anjuran Inapan Siswa (Inasis) Malaysian Airlines (MAS) dengan kerjasama Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia.

Kursus ini diadakan bagi mendedahkan peserta kepada peraturan dan prosedur berkaitan perkastaman bagi memastikan peserta dapat mengambil Peperiksan Sijil Ejen Kastam selain sebagai memenuhi syarat-syarat untuk menjadi ejen kastam.

Di samping itu, kursus ini juga adalah bagi melengkapkan peserta khususnya mahasiswa dengan kemahiran tambahan yang memudahkan mereka memperoleh pekerjaaan selepas graduasi.

Perasmian kursus ini disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Dr. Mohd Dino Khairri Shariffuddin di Dewan Seminar B, Kompleks Konvesnyen pagi tadi.

Beliau dalam ucapannya berkata program ini adalah bagi melengkapkan pelajar dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran tambahan yang boleh membantu pelajar memperoleh pekerjaan sesegera mungkin selepas bergraduasi.

"Hasrat kita di UUM adalah mahukan pelajar mendapat pekerjaan enam bulan selepas bergraduasi. UUM menyediakan pelbagai program sebegini yang mana pelajar boleh mendapat maklumat mengenainya di CEDI dan Pusat Pembangunan Kerjaya.

"Program yang dianjurkan ini juga disubsidi di mana pelajar hanya perlu membayar RM 500 untuk mengikuti kursus ini di UUM berbanding kos di luar RM 1855," ujarnya.

Sementara itu Pengarah CEDI, Dr. Mohd Najib Mansor berkata Sijil Ejen Kastam ini sangat berharga kepada pelajar terutama apabila melangkah ke alam pekerjaan.

"Kita dapati syarikat di luar sana yang berurusan dengan kastam perlu memiliki sijil ini. Justeru apabila pekerja sendiri telah dilengkapi sijil ini, syarikat akan berbesar hati kerana mereka tidak lagi perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk melengkapkan pekerja mereka dengan sijil berkenaan," jelasnya.

Tambahnya kursus itu dikendalikan tenaga pengajar daripada pihak kastam sendiri selain beberapa subjek akan diajar oleh tenaga pengajar dari UUM.

Selain mahasiswa UUM, peserta terdiri daripada golongan profesional dan pelajar-pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam yang lain.

Kursus ini mengandungi 22 modul meliputi 75 jam masa berkursus dan berlangsung selama 9 hari mulai 10 hingga 20 Januari, manakala peperiksaan bagi mendapatkan sijil itu akan diadakan pada 21 Januari 2017.

Hadir sama Penyelaras Kursus, Fadzil Mohd Husin; Pengetua Inasis MAS, Dr. Mohd Azril Ismail dan pegawai-pegawai UUM.

 

26 STAF UUM BAKAL TUNAI HAJI

31 JULAI 2017 / 07 ZULKAEDAH 1438H

haji

 

UUM ONLINE: Seramai 26 staf Universiti Utara Malaysia (UUM) telah terpilih untuk menunaikan ibadah haji di tanah suci Makkah pada tahun ini.

Sehubungan itu satu majlis bagi meraikan bakal-bakal jemaah haji berkenaan telah diadakan di Bilik Mesyuarat Naib Canselor petang semalam.

Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berpesan agar bakal jemaah haji UUM membuat persiapan yang secukupnya bagi menunaikan rukun Islam kelima itu.

"Saya berharap bakal jemaah telahpun membuat persiapan yang secukupnya dari sudut mental, fizikal dan rukun-rukun haji agar ibadah haji yang bakal dijalankan itu sempurna," katanya.

Beliau juga berharap para jemaah haji dapat menjaga kesihatan dengan baik ketika berada di tanah suci dan fokus sepenuhnya dalam menjalankan ibadah supaya memperoleh haji yang mabrur.

"Ketika berada di tanah suci, berilah sepenuh tumpuan dalam menjalankan ibadah dan lupakan seketika hal-hal di rumah. Jangan lupa untuk turut berdoa memohon kesejahteraan, diri, keluarga serta UUM, tempat kita mencari rezeki ini," tambahnya.

Hadir sama Timbalan Pendaftar, Baharudin Yaacob; Pengarah Pusat Islam, Prof Madya Dr Ismail Hj Ishak, pegawai-pegawai UUM serta bakal-bakal jemaah haji.

uum icon finas en logokpkkmscmygovtourismtv3 hires

footer 4 jun 2017

Hubungi Kami

Unifilm Studio, Universiti Utara Malaysia, 06010 UUM Sintok, Kedah Darul Aman, MALAYSIA

Tel: +604-928 3750
Fax : +604-928 3777
Email : unifilm@uum.edu.my

Waktu Pejabat

Ahad-Rabu: 8:00 pagi - 5:00 petang

Khamis: 8:00 pagi - 3:15 petang

Waktu Rehat: 1:00 petang - 2:00 petang

 

Lokasi Kami

map

UUM TV

h

Copyright © 2017 UNIFILM STUDIO UUM

Last Updated on Thursday, September 14 2017 Time 10:00 AM