Malay English

BADAI RIBUT ERAT HUBUNGAN UUM – PENDUDUK KAMPUNG

 

 

07 JUN 2016

Oleh : Musyaznie Mokhtar

ribut

 

CHANGLUN – Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi terlibat secara langsung dalam Program Tanggungjawab Sosial (CSR) bagi membantu penduduk kampung Changkat Setul, Changlun memasang bumbung rumah mangsa yang terlibat dalam kejadian ribut kencang.


Pengarah Canselori, Ahmad Rasidi Abdullah merupakan individu yang bertanggungjawab menghubungkan penduduk kampung dengan pihak UUM dalam usaha mengeratkan hubungan kedua dua pihak.


“Kita telah menghantar beberapa orang kakitangan UUM yang pakar dalam bidang pembinaan bagi membina semula bahagian bumbung yang rosak hampir 100 peratus di rumah mangsa kejadian,” katanya.


Penduduk kampung, Abdul Rahim Md Noh berkata angin kencang, ribut serta hujan lebat yang membadai kampung ini telah mengakibatkan beberapa buah rumah mengalami kerosakan di bahagian bumbung.


“Dengan kerugian yang dialami mangsa kejadian, anak-anak muda kampung mengambil inisiatif mengumpul dana bagi menampung kos untuk membeli bumbung zink dan kayu yang dianggarkan bernilai RM 600,” ujar beliau.
Menceritakan detik cemas, sekelip mata sahaja rumah seorang ibu tunggal, Nursyam Md Isa berbumbungkan langit apabila atap rumahnya diterbangkan angin kuat sekitar jam dua petang pada 24 Mei yang lalu.
“Ribut telah menerbangkan atap rumah mak cik sampaikan mak cik dengan anak-anak tidak dapat tidur apabila hujan lebat turun, anak mak cik terpaksa menebuk lubang pada dinding rumah bagi memudahkan air keluar,” kata beliau yang tabah menghadapi ujian yang menimpa.


Dalam menampung kos perbelanjaan seharian, beliau turut membantu anak-anak mencari rezeki dengan menjual kuih-muih di warung dan duit itu juga digunakan untuk membeli atap bagi menampung kebocoran di bumbung dapur sebelum menunggu bantuan tiba.


“Anak mak cik pun kerja kampung sahaja, tambahan lagi kesihatan mak cik tak mengizinkan untuk mak cik jual kuih setiap hari,” tambah beliau lagi yang mengidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.


Beliau bersyukur dengan sikap penduduk kampung yang ringan tulang dan kerjasama yang diberikan oleh kakitangan UUM dalam usaha membantu membina semula atap rumahnya.


Memanfaatkan kepesatan penggunaan teknologi, penduduk kampung menggunakan perisian Whatsapp sebagai saluran penyebaran maklumat yang pantas dan mudah mengenai isu-isu berkaitan permasalahan atau aktiviti penduduk kampung.


“Kemudahan Whatsapp dalam perhubungan amat pantas membolehkan penduduk kampung mengetahui kejadian yang berlaku dan ini juga merupakan sebab utama penyaluran bantuan kepada mangsa ribut dapat disegerakan,” kata seorang pemuda kampung, Shahrol Anuar Salleh yang hadir menyumbang tenaga memasang bumbung rumah mangsa.


Tambah beliau, pasukan penyelamat kampung telah ditubuhkan bagi menangani dan menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk ketika menghadapi bencana alam seperti ribut dan banjir.


“Selalunya, pasukan kami akan mengadakan perjumpaan di masjid bagi membincangkan alternatif terbaik untuk memberikan bantuan.


“Kami beruntung tinggal berdekatan UUM dan amat berterima kasih kepada UUM kerana telah banyak membantu penduduk kampung secara langsung atau tidak langsung menyelesaikan masalah yang dihadapi,” ujar beliau.

 

uum icon finas en logokpkkmscmygovtourismtv3 hires

footer 4 jun 2017

Hubungi Kami

Unifilm Studio, Universiti Utara Malaysia, 06010 UUM Sintok, Kedah Darul Aman, MALAYSIA

Tel: +604-928 3750
Fax : +604-928 3777
Email : unifilm@uum.edu.my

Waktu Pejabat

Ahad-Rabu: 8:00 pagi - 5:00 petang

Khamis: 8:00 pagi - 3:15 petang

Waktu Rehat: 1:00 petang - 2:00 petang

 

Lokasi Kami

map

UUM TV

h

Copyright © 2017 UNIFILM STUDIO UUM

Last Updated on Thursday, September 14 2017 Time 10:00 AM