Malay English

CSR BANTU TINGKATKAN KEMAHIRAN PELAJAR

02 FEBRUARY 2017 / 05 JAMADILAWAL 1438H

csr2017

 

 

 

SINTOK – Seramai 15 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sintok (SMKBBS) menyertai Bengkel Penulisan Berita, Fotografi dan Videografi anjuran Unifilm Studio, Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Pusat Sumber Sekolah Al-Falah di bawah projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

 

Bengkel yang diadakan selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Januari telah memberi manfaat kepada pihak sekolah dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah mampu mencungkil minat dan kebolehan dalam dunia kewartawanan fotografi.

 

Pengarah Canselori juga merangkap Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKBBS, Ahmad Rasidi Abdullah berkata bengkel seperti ini wajar diadakan bagi melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif dalam merakam gambar yang berkualiti.

 

“Difahamkan pihak sekolah akan menerbitkan majalah sekolah jadi saya rasa ini merupakan platform yang terbaik untuk pelajar mempelajari teknik atau kemahiran yang betul daripada tenaga pengajar yang lebih pakar dalam bidang ini.

 

“15 pelajar yang terpilih diharap dapat bergerak aktif dalam menghasilkan berita, gambar dan melakukan penyuntingan mengikut kreativiti tersendiri serta turut dipantau oleh guru-guru dalam menjayakan penghasilan majalah sekolah,” ujar beliau.

 

Projek CSR ini telah mendapat sumbangan sebuah kamera DSLR daripada Ecaster Media, sebuah syarikat pembekal peralatan audio visual untuk diserahkan kepada Pusat Sumber Sekolah Al-Falah yang bertujuan memberi galakan kepada pelajar serta meningkatkan kemahiran mengendalikan kamera ketika membuat liputan.

 

Tenaga pengajar yang berpengalaman terdiri daripada staf Unifilm Studio tampil berkongsi ilmu sepanjang tiga hari bengkel berlangsung.

Aktiviti hari pertama dimulakan dengan pengukuhan teori melalui pengenalan asas penulisan berita yang disampaikan oleh Nasiha Abdul Rashid untuk menjelaskan kepada pelajar tentang persediaan yang diperlukan bagi menjadi seorang wartawan.

 

Bengkel diteruskan dengan pengenalan kepada asas fotografi iaitu cara mengendalikan kamera DSLR dan penekanan diberikan kepada pemahaman tentang penggunaan ISO, shutter speed serta aperture yang disampaikan oleh Mohd Fuad Hamid dan Ismanor Akhmar Ismail.

Pelajar juga didedahkan dengan teknik merakam visual serta pemilihan syot-syot kreatif menggunakan kamera DSLR. Pelajar turut diberi peluang menggunakan kamera jenis P2 yang dibimbing oleh Khairul Nazwan Ramli dan Zamarizul Salleh.

 

Menurut Pengarah Unifilm Studio, Bahiyah Md Idris berkata selain teori di dalam kelas, pelajar juga dibawa ke UUM untuk mempraktikan skill yang telah diajar.

 

“Apabila pelajar didedahkan dengan keadaan sebenar, baru kita dapat melihat kemampuan dan kelemahan yang boleh ditingkatkan.

“Mereka sangat bersemangat ketika sesi praktikal dijalankan di sekitar Anjung Tamu dan Varsity Mall, UUM kerana sentiasa bertanya dan ingin mencuba merakam gambar sendiri dengan bantuan staf yang terlibat,” kata beliau ketika hadir memantau aktiviti yang dijalankan.

 

Tambah beliau, bakat pelajar perlu digilap dengan sebaiknya agar mereka mampu menyumbang sesuatu kepada diri sendiri, sekolah dan masyarakat serta terhindar daripada aktiviti tidak berfaedah.

 

Selesai sahaja menjalani sesi praktikal, pelajar diajar menyunting gambar dan video untuk dijadikan bahan berita dengan menggunakan perisian Adobe Photoshop dan Adobe Premier Pro yang disampaikan oleh Danial Nizar Mansor dan Mohd Ridzuan Zulkifle.

 

Pelajar berpeluang mempersembahkan hasil berita, gambar dan video yang telah siap kepada pihak sekolah dalam mempamerkan kebolehan yang berjaya dikuasai sepanjang mengikuti setiap sesi yang telah diaturkan.

 

Jalinan kerjasama melalui projek CSR ini telah menyumbang kepada penyebaran ilmu pengetahuan dalam dunia kewartawanan fotografi serta dapat mengukuhkan hubungan antara Unifilm Studio dengan pihak sekolah.

 

Menurut Pengetua SMKBBS, Haji Mohd Amir Abdul Hamid berkata usaha yang dilakukan Unifilm Studio telah memenuhi keperluan pihak sekolah dalam mewujudkan sekumpulan pelajar media yang berkebolehan membuat liputan bagi setiap acara, aktiviti atau majlis yang diadakan di sekolah.

 

“Saya amat berpuas hati dan berterima kasih kepada Unifilm Studio kerana sudi tampil mengajar dan membimbing pelajar.

“Harapan saya agar usaha ini dapat diteruskan di masa akan datang dengan pelbagai aktiviti bagi mengukuhkan lagi hubungan yang terjalin,” ucap beliau dalam majlis penutupan bengkel.

 

Turut membantu menjayakan bengkel ini, enam orang pelajar praktikal Unifilm Studio dalam bidang perfileman, multimedia dan industri kreatif dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara Rembau, Negeri Sembilan, Politeknik Metro Tasik Gelugor, Pulau Pinang, dan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), UUM.

 

uum icon finas en logokpkkmscmygovtourismtv3 hires

footer 4 jun 2017

Hubungi Kami

Unifilm Studio, Universiti Utara Malaysia, 06010 UUM Sintok, Kedah Darul Aman, MALAYSIA

Tel: +604-928 3750
Fax : +604-928 3777
Email : unifilm@uum.edu.my

Waktu Pejabat

Ahad-Rabu: 8:00 pagi - 5:00 petang

Khamis: 8:00 pagi - 3:15 petang

Waktu Rehat: 1:00 petang - 2:00 petang

 

Lokasi Kami

map

UUM TV

h

Copyright © 2017 UNIFILM STUDIO UUM

Last Updated on Thursday, September 14 2017 Time 10:00 AM