Pada 22 Julai 2023 bertempat di Studio TV, Unifilm Studio, Universiti Utara Malaysia, Sintok telah berlangsungnya Bengkel Teater anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun dengan kerjasama Unifilm Studio.
Bengkel ini mengkhususkan sudut teknikal dalam seni persembahan teater kepada pelajar sekolah Kelab Drama/Teater SMK Changlun (KEMAYA). Para pelajar didedahkan dengan cara penggunaan kamera untuk tujuan rakaman dan pencahayaan pentas yang membawa emosi dan suasana penceritaan contohnya cahaya merah menunjukkan situasi yang tegang dan biru mengambarkan suasana sedih dan pilu.
Selain itu, sistem audio termasuk muzik dan suara yang jelas juga amat penting kerana mampu mempengaruhi emosi dan mewujudkan persekitaran yang seimbang dan harmoni. Dengan bantuan audio yang baik, sebuah persembahan teater akan menjadi lebih seronok dan menarik minat untuk terus menonton.
Bengkel disertai seramai 29 pelajar yang bakal bertanding dalam Pertandingan Drama Bahasa Melayu Peringkat Negeri Kedah dan Pertandingan Drama Bahasa Inggeris Peringkat Negeri Kedah pada bulan Ogos 2023 ini turut diberikan pendedahan bahawa penglibatan dalam seni persembahan teater bukan sahaja untuk lakonan pentas tetapi boleh dijadikan sebagai kerjaya di masa hadapan.