GURUN - Klip Video berjudul “Cuai” dan “Alpa” telah membawa tuah kepada 6 orang pelajar praktikal Unifilm Studio, Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila berjaya mendapat Johan dan Naib Johan dalam Pertandingan Video Klip Keselamatan Jalan Raya Peringkat Institut Pengajian Tinggi Negeri Kedah Tahun 2019.
Kumpulan One Two Three Picture dianggotai oleh tiga orang pelajar dengan video klip berjudul “Cuai” telah merangkul Johan dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM 1,000.00 manakala video klip berjudul “Alpa” daripada Kumpulan Dia yang juga diangotai tiga orang pelajar mendapat tempat kedua dan membawa pulang hadian wang tunai bernilai RM 500.00.
Pengarah Unifilm Studio, Bahiyah Md. Idris mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar praktikal kerana telah berjaya menghasilkan video yang mempunyai nilai positif dan mampu mendidik sesiapa sahaja yang menonton.
“Saya sentiasa menyokong mereka untuk menyertai petandingan-pertandingan yang dibuka bagi mengasah bakat, kemahiran dan kebolehan mereka dalam mengurus sendiri pembikinan sesebuah video bermula dari proses pra-produksi, produksi dan post-produksi,” ujar beliau.
Nurul Huda Noorzamri, ketua kumpulan One Two Three Picture berkata beliau tidak menyangka dan amat bersyukur kerana kumpulan mereka telah berjaya mendapat Johan dalam pertandingan ini sekaligus telah membakar semangat dan keyakinan mereka untuk terus berkarya di masa akan datang.
Tambah Nurul Huda, video klip berkisahkan seorang lelaki yang tidak mematuhi peraturan jalan raya telah membahayakan orang lain dan dirinya sendiri diketengahkan sebagai idea utama dalam mendidik masyarakat bahawa pentingnya sikap berhemah dan bertimbang rasa semasa memandu.
Hadiah kemenangan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama, merangkap Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), YB Azman Nasruddin dalam Majlis Pelancaran Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Kedah Tahun 2020.
Rehat dan Rawat (RnR) Gurun Arah Selatan dipilih sebagai lokasi pelancaran adalah untuk memberi peringatan kepada pengguna jalan raya agar berhenti dan berehat dahulu sebelum memulakan perjalanan.
Selain itu, beberapa aktiviti juga dilaksanakan termasuk pertukaran minyak hitam motosikal, advokasi pengguna jalan raya dan Flag Off kenderaan penguatkuasa dan rondaan yang akan bertugas sepanjang masa perayaan.