SINTOK – Unifilm Studio dengan kerjasama Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kutipan sumbangan sepanjang bulan Ramadan untuk berkongsi rezeki membantu meringankan beban kepada 10 keluarga yang kurang berkemampuan.
Pemberian sumbangan dihantar dari rumah ke rumah bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim bersama keluarga penerima dan lawatan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar Perlis bagi menghulurkan sumbangan wang ringgit dan keperluan harian kepada keluarga Mohd Azmee.
Keluarga Mohd Azmee diuji dengan keadaan anak bongsunya, Muhammad Aryyan Amsyar disahkan mengidap ketumbuhan di bahagian kepala dan terpaksa menjalani kimoterapi yang menelan perbelanjaan yang besar.
Menurut Presiden Kelab Unifilm, Mohd Azizul Helmi Hj. Baharudin berkata kita harap dengan pemberian sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung serta mampu menyerikan kehadiran Aidilfitri yang bakal tiba.
“Setiap penerima mendapat barangan seperti beras 10 kilogram, gula, susu, tepung, minyak masak, telur, nasi impit, serunding, kuah raya serta pemberian sejumlah wang ringgit,’ ujar beliau.
Ujar beliau, setiap tahun program seumpama ini dijalankan bagi membela nasib golongan yang kurang berkemampuan khususnya di sekitar kawasan Sintok dan Changlun.