KUALA NERANG - Pemergian Ramadan bakal ditangisi oleh setiap mukmin. Ini kerana bulan Ramadan mampu meraih keuntungan besar daripada Allah SWT bagi sesiapa sahaja yang menghidupkan amalan kebaikan di dalam dirinya antaranya bersedekah.
Allah SWT memuliakan dan melipatgandakan pahala kepada hambaNya yang berkongsi rezeki di bulan Ramadan antaranya menginfakkan harta kekayaan di jalan Allah, memberi sumbangan wang ringgit, bantuan tenaga atau sokongan moral kepada insan yang memerlukan.
Bersempena menyambut kedatangan Syawal, Projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional (Tadbir dan Ikhtisas), PERPATI UUM dengan kerjasama Unifilm Studio, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah meraikan seramai 60 golongan asnaf menerusi Program Jelajah Ramah Asnaf 2019 pada 31 Mei 2019.
Presiden PERPATI UUM, Mejar Mohamad Ezanee Yazid berkata, pemberian sumbangan adalah dalam bentuk keperluan harian seperti beras, minyak, gula, kuih raya, kordial, serunding, Milo, dan sebagainya diagihkan kepada para penerima yang terdiri daripada ibu tunggal dan warga emas yang kurang berkemampuan.
“Program sebegini sering kami adakan setiap tahun bagi membantu meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik serta dapat berkongsi kegembiraan menyambut kedatangan Syawal yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi.
“Pada tahun ini, pemberian sumbangan dilakukan di Masjid Kampung Musa, Pedu, Kuala Nerang dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Alkram, untuk disalurkan bantuan tersebut kepada penduduk kampung sekitar kariah Masjid Al-Alkram, Kampung Musa. Pada tahun lalu, kita telah menyampaikan sumbangan seumpamanya di sekitar Kampung Changkat Setul, Changlun dengan berbasikal beramai-ramai bersama ahli persatuan,” ujar beliau.
Naib Presiden PERPATI merangkap Pengarah Unifilm Studio, Bahiyah Md. Idris berkata sumbangan ini merupakan hasil kutipan sumbangan daripada staf UUM, Ahli PERPATI dan individu yang menginfakkan wang bagi membolehkan niat murni ini dilaksanakan seterusnya menyalurkan sumbangan ini kepada jumlah asnaf yang ramai.
“Usaha sama Unifilm Studio melalui pemberian sumbangan daripada seorang individu yang dermawan mengejar ganjaran bulan Ramadan serta pembabitan staf yang turut hadir membantu dan membuat liputan media amat dihargai.
“Saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang turun padang membantu menjayakan program ini serta penduduk kampung yang baik hati bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa untuk kami,” kata beliau.
Sementara itu, seorang penerima Bedah Ali berkata, dia sangat bersyukur kerana terpilih menerima sumbangan sempena menyambut ketibaan Aidilfitri sedikit sebanyak dapat meringankan beban menyediakan keperluan menjelang Syawal.
“Makcik ucap terima kasih kepada orang UUM kerana sudi datang hulur bantuan, mari jauh-jauh bagi barang dapur, kuih raya ni syukur alhamdulillah,” ujarnya.