All News

HULURAN MESRA UNIFILM STUDIO PENYERI AIDILFITRI CHANGLUN

CSR

Saat yang paling mengembirakan bagi 10 buah keluarga apabila terpilih untuk menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada Unifilm Studio, Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena menyambut lebaran yang bakal kunjung tiba melabuh jendela Ramadan tahun ini.


Pengarah Unifilm Studio, Bahiyah Md Idris berkata sumbangan yang diedarkan di bawah Projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Unifilm Studio untuk mendekati dan membantu masyarakat membuat persiapan hari raya dengan pemberian barangan keperluan asas.


“Kita gembira nak sambut raya tetapi raya itu akan lebih bermakna bila kita boleh berkongsi dengan orang lain dan ini merupakan nilai yang perlu diterapkan dalam diri setiap anggota masyarakat untuk peka dengan persekitaran sekeliling apabila ada yang susah dibantu,” kata beliau.


Tambah beliau, dana sumbangan diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Negeri Kedah, Dato’ Hj Badrol Hisham Hashim bagi melancarkan perjalanan projek CSR anjuran Unifilm Studio.


Presiden Kelab Unifilm Studio, Saiful Nizam Saidon berkata pemberian sumbangan ini adalah untuk meringankan beban mereka yang memerlukan dan berharap dapat memberikan keceriaan kepada mereka dalam membuat persiapan menyambut hari lebaran.


“Sumbangan disampaikan dari rumah ke rumah di sekitar Kampung Rawa, Kampung Changkat Setul, Kampung Darat, Taman Bersatu dan Kampung Lembah Keriang, Changlun yang telah dikenal pasti melalui maklumat yang disalurkan oleh ketua kampung, kenalan rapat dan rakan-rakan.


“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas seperti beras, minyak, gula serta kuih raya dan ketupat turut diberikan agar dapat menghidupkan suasana ceria Aidilfitri di setiap rumah yang kami kunjungi”, ujar beliau.