SINTOK – Unifilm Studio, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan lawatan penanda aras tiga orang Penerbit Rancangan
Pejabat Naib Canselor (PNC) dari Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas berkaitan struktur organisasi, skop tugas, kelengkapan peralatan
rakaman audio visual dan teknikal serta hasil produk terbitan Unifilm Studio.
Penerbit Rancangan UMP, Anuar Abdul Aziz berkata lawatan seperti ini dapat memberi pendedahan, pengetahuan dan pertukaran
idea dalam usaha menjadikan Jabatan Penyiaran UMP sebagai sebuah Strategic Business Unit (SBU).
“Saya juga berharap agar lawatan ini dapat membantu kami dalam meningkatkan kefahaman menyusun atur tugas dan menyediakan
perkhidmatan yang lebih baik,” ujar beliau.
Beliau juga amat berterima kasih kepada pihak Unifilm Studio kerana sudi menerima kehadiran pihak UMP dan berkongsi
pelbagai perkara baharu yang mampu memberi manfaat kepada jabatan dalam usaha menjana keuntungan universiti.
Tambah beliau, lawatan ini merupakan susulan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor Universiti Awam Malaysia (JKNC)
yang diadakan di UUM baru-baru ini.
“Naib Canselor UMP amat tertarik dengan video throwback aktiviti Discover UUM yang telah ditayangkan dalam majlis Makan Malam Mesyuarat JKNC.
“Saya juga difahamkan, Unifilm Studio melakukan penyuntingan selepas satu jam rakaman aktiviti tersebut dijalankan sebelum ditayangkan
dalam majlis makan malam,” kata beliau.
Pengarah Unifilm Studio, Bahiyah Md Idris berharap agar hubungan UUM dan UMP dapat diteruskan pada masa hadapan terutamanya
bagi penghasilan produk penerbitan video yang dapat menjana pendapatan.
Selain itu, pihak UMP turut diberi taklimat mengenai sejarah dan latar belakang UUM setibanya di Anjung Tamu.